Friday, April 17, 2009

Kemelut komuter: Surat terbuka buat KTMB - Please lah KTMB...x paham lagi ker??~~

(Dipetik dari Utusan-17/4/09)

BARU-baru ini Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat ada menegur bahawa KTMB tidak mesra golongan orang kurang upaya (OKU).
Katanya sejak tahun lepas lagi beliau telah membangkitkan perkara itu dengan agensi terbabit. Dan saya, sebagai pengguna perkhidmatan komuter di bawah kendalian KTMB ingin menambah bahawa bukan sahaja KTMB tidak mesra OKU tetapi juga tidak mesra dengan keseluruhan penggunanya.
Masalah bukan berlaku setahun dua tetapi sepanjang lima tahun saya menggunakan perkhidmatan komuter.
Saya percaya selain saya, sudah beratus aduan pengguna terhadap perkhidmatan KTMB disuarakan, sama ada melalui forum ini ataupun medium lain.
Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdullah Ahmad Badawi juga pernah menegur kelemahan perkhidmatan komuter suatu ketika dulu. Malangnya, sehingga ke hari ini, tiada perubahan berlaku, malahan semakin hari semakin teruk sehingga ramai pengguna menganggap bahawa KTMB tegar terhadap aduan dan rungutan pengguna.
Masalah paling ketara dalam perkhidmatan komuter ialah masa perjalanan yang tidak tepat dan tergendala (dua atau tiga trip komuter dijadikan satu trip sahaja).
Walaupun kononnya waktu perjalanan komuter ke semua destinasi telah dibuat penjadualan semula dari 15 minit setiap trip kepada 20 minit sejak tahun lalu, ia hanya retorik semata-mata.
Bayangkan, hampir setiap hari komuter mengalami kelewatan waktu perjalanan atau dilambatkan atas alasan teknikal dan sebagainya. Anehnya, ia sering berlaku pada waktu puncak, sama ada waktu penumpang mahu ke tempat kerja atau balik dari kerja.
Dan bayangkan pula, betapa sesaknya stesen terutamanya Stesen KL Sentral dengan pengguna yang menunggu dengan wajah letih dan badan yang penat. Sudahlah letih berdiri menunggu komuter tiba berjam-jam lamanya, kena berasak dan berebut pula bila mahu menaikinya. Kadang-kala sehingga komuter yang ketiga atau keempat barulah kami dapat menaikinya.
Saya percaya, sebahagian besar emosi pengguna juga sangat tertekan dengan masalah yang tidak berkesudahan ini. Saya fikir, jika tidak sabar sudah lama pengguna perkhidmatan komuter mengalami stres melampau, kalau pun tidak gila.
Sudah puas merungut dan mengadu tetapi nampaknya suara pengguna seperti kami tidak didengari oleh pihak-pihak atasan yang saya percaya tidak pernah merasai dan mengalami sendiri keperitan berebut, bersesak dan berdiri di dalam komuter.
Dari segi imej, saya percaya imej KTMB sudah lama tercalar, bukan sahaja di mata rakyat Malaysia tetapi juga pelancong negara luar yang datang melancong dan menggunakan perkhidmatan komuter.
Tidak perlulah merasa malu kepada mereka dalam hal ini kerana KTMB wajar merasa malu kepada rakyat Malaysia terlebih dahulu atas perkhidmatan yang diberikan. Sejarah panjang penubuhan Keretapi Tanah Melayu menjadi pengangkutan tertua di negara ini nampaknya tidak mempunyai signifikan lagi.
Saya sering tertanya-tanya, sudah tiada cara lagikah untuk pihak pengurusan KTMB menyelesaikan masalah lapuk ini? Sudah kehabisan ideakah para pegawai atasan mereka untuk mengkaji punca kelemahan pengurusan mereka sendiri?
Atau mereka mengambil sikap untuk mendengar sahaja tetapi tidak bertindak kerana beranggapan sekecoh mana pun pengguna, mereka tetap akan naik komuter juga - kerana sebahagian besar daripada kami memang tiada pilihan. Jika itu yang berlaku, ia memang sangat menyedihkan.
Saya juga sering terfikir, tidakkah kita dapat belajar dan menimba ilmu daripada negara Jepun dan Switzerland yang mempunyai sistem perkhidmatan kereta api terbaik di dunia?
Sesungguhnya saya dan pengguna-pengguna komuter yang lain sudah muak dengan pengumuman kelewatan melampau tren komuter (tidak kira apa pun puncanya) yang hampir saban hari kami dengar.
Selain daripada pihak pengurusan KTMB, saya tidak dapat tidak dari menyentuh tentang Kementerian Pengangkutan sendiri. Saya fikir, masalah pengangkutan awam di Malaysia memang agak kronik (dalam hal ini sudah tentulah perkhidmatan komuter).
Sudah sampai masanya pihak kementerian berbuat sesuatu yang tegas bagi mengatasi masalah ini, dalam keadaan di mana sebahagian besar rakyat bawahan dan pertengahan bergelut dengan kepayahan hidup akibat kegawatan ekonomi. Bantulah kami melawan kepayahan itu dengan cara menyelesaikan masalah pokok yang sewajarnya ditangani oleh tuan-tuan yang bijaksana.
Saya fikir, pihak kementerian pasti bersetuju bahawa bidang pengangkutan bukan sahaja tentang kebanggaan melancarkan berapa banyak destinasi baru oleh syarikat-syarikat penerbangan tetapi juga tentang berapa banyak masalah domestik pengangkutan yang harus diselesaikan.
Barangkali kami tidak mempunyai kereta besar dan mewah untuk ke tempat kerja, tetapi kami masih perlu bekerja walaupun hanya dengan menaiki komuter.
CEK ROSE
Shah Alam

1 comment:

nadnye said...

dengar la rintihan ku...