KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) digesa memulakan
siasatan terhadap dakwaan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul
Abidin mengenai penyelewengan dalam Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia
(Yadim).
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr
Mashitah Ibrahim, berkata tindakan itu perlu bagi membersihkan segera
nama institusi agama itu daripada dakwaan yang boleh mencemarkan imej
Islam.
Beliau berkata, jika benar wujud penyelewengan, SPRM perlu
mengambil tindakan segera dan Yadim dibersihkan daripada unsur-unsur
berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, jika dakwaan itu tidak berasas, pihak yang
menuduh wajar dikenakan tindakan tegas kerana cuba mencemar nama baik
Yadim.
“Saya pelik mula-mula kata, dia (Mohd Asri) dilantik sebagai
Yang Dipertua Yadim, kemudian tuduh ada penyelewengan. Saya bimbang
pertelagahan orang agama dengan Yadim boleh menimbulkan kegelisahan
umat Islam,” katanya.
Mashitah juga menggesa SPRM menyiasat dakwaan penyelewengan
kenaikan pangkat dalam Yadim apabila pegawai tidak layak dinaikkan
pangkat, manakala pegawai kanan dinafikan hak.
Mengulas kenyataan Mohd Asri menolak tawaran menerajui Yadim, Mashitah
berkata, nama bekas mufti itu baru pada peringkat cadangan dan tidak
timbul soal pelantikan kerana belum ada surat pelantikan dikeluarkan.
(Petikan dari Berita Harian pada 4/11/09)