Tuesday, May 5, 2009

Kembalikan Program Susu Sekolah untuk murid miskin

SAYA merupakan bapa kepada anak- anak yang bersekolah di sekolah rendah kerajaan. Saya lihat banyak ganjaran dan kelebihan telah diberikan kepada murid-murid oleh kerajaan. Syabas diucapkan.
Antaranya, buku teks percuma, pemansuhan yuran dan banyak lagi bantuan diberi bagi meringankan perbelanjaan keluarga.

Namun saya berasa amat terkilan kerana Program Susu Sekolah untuk murid miskin yang diperkenalkan pada awal tahun 80-an oleh Tun Dr. Siti Hasmah, isteri mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir, kini sudah tiada lagi.

Saya merupakan antara pelajar yang menikmati Program Susu Sekolah pada masa era 80-an itu. Susu adalah satu makanan lengkap untuk murid-murid membesar sempurna dan meningkatkan tahap antibodi dalam badan mereka.

Apabila saya bandingkan tubuh saya dan kawan-kawan semasa kami bersekolah (semasa menikmati Program Susu Sekolah) dan tubuh murid-murid sekarang adalah jauh berbeza.
Murid sekarang adalah lebih kecil dan rendah, tidak bermaya. Kebanyakannya kurus dan tidak seaktif yang kita harapkan serta mudah sakit.

Apa yang memeranjatkan lagi ialah kebanyakan kantin di sekolah dibenarkan dengan cara terbuka menjual minuman seperti air sirap pewarna merah, air batu campur dan minuman manis yang kebanyakannya mengandungi kandungan gula dan pewarna yang tinggi. Pada jangka panjang, ia boleh menyebabkan kanser dan kencing manis.

Tambahan lagi, kebanyakan minuman yang dijual tidak mempunyai pengesahan Kementerian Kesihatan Malaysia yang memantau tahap gula dan pewarna yang dibenarkan bagi semua produk keluaran komersial.

Isu keracunan susu yang panas diperkatakan tahun lepas hendaklah dianggap sebagai proses pembelajaran kepada semua pihak termasuk kerajaan, ibu bapa, pihak sekolah dan juga pengilang susu.

Janganlah kerana segelintir peratusan murid yang sakit perut dan digembar-gemburkan di dalam media, seluruh murid miskin dinafikan haknya untuk mendapatkan bekalan susu percuma daripada kerajaan.
Kajian di sekolah itu sendiri hendaklah dijalankan dan juga sistem pemakanan murid yang terlibat hendaklah dikaji secara total.

Apa yang dimakan sebelum minum susu, waktu susu diminum serta gabungan makanan yang terlibat semasa meminum susu. Pihak kerajaan perlu telus dalam hal ini.

Hampir seluruh negara di dunia mempunyai Program Susu Sekolah yang berterusan dan pencapaian mereka adalah amat memberangsangkan.

Cuba lihat Indonesia, Thailand, Jepun dan Singapura. Mereka berlumba-lumba untuk menghasilkan generasi sihat.

Saya bersimpati dengan murid miskin yang tidak lagi menerima bantuan susu sekolah. Ingatlah peratusan murid miskin terbesar adalah murid berketurunan Melayu.
Keluarga mereka tidak mampu membeli susu di kedai dan pasar raya untuk dijadikan minuman harian seperti di negara Barat.

Justeru, teruskanlah semula usaha murni Program Susu Sekolah. Murid miskin sekarang inilah yang akan menerajui negara kita satu masa nanti.
Kesihatan mereka mencerminkan masa depan negara kita. Kembalikanlah hak mereka.
BAPA PRIHATIN
Kuala Lumpur
(Petikan dari Utusan)
*Teringat zaman sekolah dulu...sedap susu tu...susu coklat...teringin nak minum lagi...

No comments: